Saturday, 5 October 2013

KEAJAIBAN SEBUAH KESYUKURAN.



Apakah maksud sebenar kesyukuran pada anda??
Bagi saya, kesyukuran bermaksud rasa berterima kasih dengan rezeki yang datang walaupun sedikit dan menghargai detik-detik gembira dalam kehidupan walaupun sekejap..

Hidup anda mungkin banyak masalah; suami atau isteri yang tidak begitu memahami apa yang anda perlukan, ibu bapa yang tak pernah bertanya apa minat anda, guru yang tidak pernah nampak kelebihan anda, majikan yang tak pernah nampak usaha anda dan banyak lagi jika anda betul-betul mahu melihat hidup ini dari segi masalah..

Cuba tukar pandangan anda seketika. Fikirkan rezeki yang telah anda dapat atau waktu-waktu gembira yang telah anda lalui. Anda berjaya mendapat markah tertinggi dalam kuliah anda, ada orang yang mahu membeli kereta anda dan anda boleh membeli kereta baru, majikan anda akhirnya mahu menaikkan gaji anda sedikit. Untuk seketika ucapkan Alhamdulillah..

Seterusnya, fikirkan  perkara-perkara yang lebih mudah yang anda lalui setiap hari; anda bangun tidur dan kaki anda masih boleh berjalan,  anda terlambat masuk ke kuliah dan kawan-kawan anda masih mahu berkongsi nota, anda pulang ke rumah dan suami atau isteri anda masih tersenyum pada anda. Untuk perkara-perkara ini juga, walaupun nampak kecil, ambil masa seketika dan ucapkan Alhamdulillah..

Apa kelebihannya bersyukur sebegini??

Anda akan mula kurang berfikir mengenai perkara-perkara negatif dalam hidup anda. Dengan bersyukur, fikiran anda menjadi semakin positif. Anda mula berfikir tentang rezeki dan kebaikan yang berlaku dalam hidup anda. Pemikiran yang positif menarik perkara-perkara yang positif dalam hidup anda. Akhirnya hidup anda akan menjadi semakin makmur..

Setiap manusia mempunyai frekuensi minda mereka sendiri yang akhirnya akan menentukan arah kehidupan mereka. Seperti frekuensi radio, walaupun ada beribu-ribu rangkaian radio di dunia ini, and hanya boleh mendengar satu siaran pada satu masa..

Begitu juga dengan frekuensi minda kita, hanya boleh “tune in” dengan satu frekuensi sahaja pada satu-satu masa. Jika anda memilih untuk fokus kepada perkara-perkara negatif, siaran anda berbentuk negatif yang akhirnya akan menarik lebih banyak perkara negatif dalam hidup anda. Kalau anda memilih untuk selalu bersyukur, siaran anda akan menjadi positif dan anda akan menarik perkara-perkara positif dalam hidup anda. Orang sekeliling anda akan mula menganggap anda seorang manusia yang sentiasa dalam perlindungan Tuhan. Inilah keajaiban sebenar sebuah kesyukuran..

Apa yang anda boleh buat sekarang??

Ucapkan Alhamdulillah setiap hari walaupun nikmat yang diberikan Tuhan hanya sebesar hama.  Sebaik sahaja bangun tidur, ucapkan Alhamdulillah kerana anda masih bernafas. Berjalan ke bilik air, ucapkan Alhamdulillah kerana anda masih mampu berjalan. Lakukan setiap pagi dan lihat perbezaannya hidup anda nanti..

No comments: